Pembentukan Parlimen Mahasiswa kini dilihat menjadi antara agenda utama bagi mematangkan lagi daya pemikiran mahasiswa Malaysia kini. Malah,pembentukan Parlimen Mahasiswa pertama di Universiti Sains Malaysia membuktikan bahawa mahasiswa kita masih mampu melahirkan idea dan saranan baik dalam isu kampus,nasional mahupun antarabangsa. Namun,dalam memastikan bahawa setiap Institut Pengajian Tinggi khususnya IPTA,mampu membentuk Parlimen Mahasiswa di kampus masing-masing, terdapat beberapa perkara yang harus ditekankan.
Menurut buku "Start Where You Are' karangan Cris Gardner, terdapat 5-K yang utama dalam memburu impian agar terlaksana, iaitu Kejelasan,ketepatan,keterujaan,komited dan konsisten.
Dalam aspek kejelasan, pemimpin-pemimpin persatuan mahasiswa serta pegawai-pegawai universiti yang berkait dalam menguruskan universiti harus jelas mengenai idea penubuhan Parlimen Mahasiswa ini. Parlimen Mahasiswa bukanlah bertujuan untuk mengalih fokus mahasiswa daripada berjaya dalam bidang akademik kepada menjadi wakil rakyat di Parlimen Malaysia,tetapi sebaliknya adalah sebagai medan latihan dalam menyampaikan hujah secara bernas dan yang paling penting,mereka melakukan penyelidikan mengenai hujah-hujah yang bakal mereka hamburkan di persidangan dewan. Bagi pegawai-pegawai universiti yang terlibat pula,boleh mendapatkan sendiri apa sebenarnya motif dan tujuan penubuhan Parlimen Mahasiswa ini baik melalui Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia mahupun kakitangan Universiti Sains Malaysia sendiri yang menguruskan soal Parlimen Mahasiswa ini.
K yang kedua iaitu Ketepatan. Dalam perkara ini, pemimpin-pemimpin mahasiswa harus memilih isu yang tepat untuk dibahaskan, dan isu yang terpilih untuk dibincang semasak-masaknya. Mahasiswa Malaysia harus keluar dari kepompong persoalan-persoalan kecil yang hanya berlegar di sekitar dalam kampus, sebaliknya mula melihat kepada isu-isu nasional yang membabitkan masyarakat negara dan tidak ketinggalan masyarakat dunia. Parlimen Mahasiswa sebenarnya merupakan platform perbahasan akademik orang muda. Jika Parlimen Mahasiswa ditubuhkan,saya melihat satu perspektif yang bagus dalam arena atmosfera politik kampus, di mana hujah yang disampaikan adalah hujah berbentuk akademik, dan tindakan yang akan diambil setelah undian di dalam persidangan adalah mengamalkan sistem musyawarah. Boleh jadi MPP sendiri mempunyai pandangan yang berbeza mengenai beberapa isu, namun apabila dibawa berbincang secara ilmiah bersama pemimpin-pemimpin mahasiswa lain,insyaAllah akan ada kata sepakat yang lebih intelektual dan dinamik dalam mencerminkan minda pemikiran mahasiswa kini.
K yang ketiga, Keterujaan. Tidak mustahil,satu hari nanti,apabila 80% daripada IPTA telahpun membentuk Parlimen Mahasiswa mereka, jika terdengar sahaja adanya persidangan Parlimen Mahasiswa, mahasiswa lain akan berasa teruja untuk melihat sendiri perbahasan oleh wakil-wakil mereka. Mahasiswa akan melihat sendiri tahap keintelektualan pemimpin-pemimpin mahasiswa. Mahasiswa akan mula sedar,peri pentingnya peranan mereka dalam merencanakan agenda di dalam negara kita. Orang muda ingin suaranya bukan sahaja di dengar, malah turut diambil cakna jika ia melibatkan banyak pihak. Sesi perdebatan di dalam Parlimen Mahasiswa juga diharap bersifat sebagai perdebatan yang matang. Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) tidak menghalang mahasiswa berbicara berdasarkan kajian dan penyelidikan yang telah mereka lakukan. Oleh itu,lakukan penyelidikan dan sebarkan hasilnya di dalam dewan persidangan.
Komited merupakan K yang keempat. Dalam menyentuh soal komited dalam konteks menjadi ahli dewan, tidak mustahil mahasiswa sendiri memberi tunjuk ajar kepada semua Yang Berhormat tentang tatacara dan etika semasa bersidang. Ahli Parlimen Mahasiswa harus tetap hadir ke persidangan, tidak perlu berhujah dengan menghambur cacian kepada orang lain dan sebagainya. InsyaAllah, Parlimen Mahasiswa di setiap kampus akan menjadi "check and balance" kepada keadaan di mana-mana Parlimen lain. Suasana yang penuh ilmiah,menjaga tatasusila dan banyak lagi, dan tidak mustahil, istilah "politik itu kotor" akan berkurangan kerana politik itu tidak kotor,tetapi manusialah yang mengotorkannya.
Dalam aspek konsisten, perkara ini dapat dilihat dengan idea Penubuhan Dewan Persidangan Mahasiswa Malaysia (DPMM), di mana setiap wakil dari setiap IPTA,IPTS,Kolej Komuniti,Politeknik,Wakil-Wakil Persatuan Mahasiswa Malaysia dari Universiti Luar Negara akan berhimpun untuk bersidang bagi membincangkan soal negara dan dunia. Apabila 80% daripada IPTA sudah membentuk parlimen mahasiswa mereka, maka tidak mustahil KPT akan menyokong DPPM ini. Biarkan mahasiswa mencabar, andai dengan itu mereka belajar tentang selok belok pengurusan negara.
Dalam menuju era baru, golongan belia khususnya mahasiswa tidak harus dimatikan peranan dan suara mereka. Setiap pandangan dari mahasiswa harus diterima dengan lapang dada dan diterangkan kepada mereka secara ilmiah apa kesan-kesan yang bakal diperoleh berdasarkan idea-idea mereka itu. Mahasiswa tidak harus disalahgunakan dalam idea penghak upayaan (empowerment). Mahasiswa tidak harus dimanipulasi, diperguna-gunakan tokenisme dan lain-lain perkara yang dilakukan atas nama kepentingan mahasiswa,namun kepentingan itu langsung tidak diketahuinya.
sayangi mahasiswa dan anak muda, tetapi yang paling penting,tingkatkanlah kepercayaan anda kepada mahasiswa.
Muhammad Afdhaluddin Mohd Yusof,
Naib Presiden Fakulti
Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia.