Soal Jawab Berkenaan Parlimen Mahasiswa

Apakah sebenarnya peranan Parlimen Mahasiswa ?

Dalam konteks UTM dan beberapa universiti yang lain, ia berperanan dalam membincangkan beberapa cadangan dari mahasiswa  yang diperoleh dari usul yang dihantar. Cadangan tersebut apabila terpilih untuk dibawa ke sidang, maka setiap ahli dewan dan pemerhati boleh menyampaikan idea, pandangan dan beberapa fakta yang boleh mengukuhkan lagi cadangan/usul tersebut. Cuma kuasa membuat keputusan diberikan kepada ahli dewan sahaja.

Apakah kelainan yang ada pada Parlimen Mahasiswa berbanding medan perbincangan yang lain ?

Parlimen Mahasiswa merupakan satu medan untuk kita sama-sama duduk,berbincang dan berbahas secara ilmiah tentang pelbagai aspek . Statusnya diangkat lebih tinggi dari mesyuarat biasa kerana ianya mempunyai cadangan dan lebih berfokus tentang apa yang akan diperbincangkan.

Malah, ia juga diharap dapat mewujudkan semangat ambil berat tentang perkara lain sekaligus menipiskan nilai individualistik dalam kalangan mahasiswa.

Siapakah yang terpilih menjadi Ahli Parlimen Mahasiswa ?

Buat masa kini, dalam konteks UTM, kita melihat bahawa MPM dan JKM merupakan antara barisan hadapan dalam kepimpinan mahasiswa. Maka, kami memberi kerusi automatik kepada mereka. Cuma untuk wakil dari peringkat fakulti, setiap persatuan di bawah fakulti tersebut akan memilih seorang sahaja sebagai mewakili seluruh persatuan di bawah fakulti tersebut.

Sebagai contoh, di FKM kita mempunyai 7 persatuan, maka dalam kalangan 7 persatuan ini akan mengundi dan memilih di antara mereka 1 persatuan sahaja untuk mewakili FKM.

Bagi persatuan-persatuan lain, mereka akan dipilih melalui undian dan kerusi yang diperuntukkan adalah baki dari kerusi yang tinggal untuk persidangan.

Dan ianya hanya layak untuk Presiden persatuan/kelab/JKM yang telah mendapat mandat. Sekiranya tidak dapat hadir semasa persidangan,maka kerusi tersebut akan dibiarkan kosong.


Apakah sebenarnya peranan pemerhati ?
Pemerhati mempunyai peranan dalam membahaskan sesuatu perkara/cadangan/usul. Pemerhati dipilih dalam kalangan mahasiswa biasa, boleh terdiri daripada mahasiswa ijazah pertama (undergraduate) atau pascasiswazah (postgraduate) yang tidak mewakili mana-mana parti, bagi mengelakkan unsur tidak adil berlaku.

Mengapakah tidak diperuntukkan 1 kerusi untuk semua persatuan ?

Terdapat beberapa faktor mengapa tidak semua kerusi diperuntukkan kepada semua persatuan.

1) Perwakilan yang dipilih hanya diberikan atas kapasiti presiden persatuan, tetapi tidak bermaksud mereka mewakili suara persatuan mereka sahaja kerana usul yang dibentang dan dibahas merangkumi semua aspek dan diperoleh dari semua mahasiswa. Tidak hanya terhad kepada hal berkaitan persatuan dan fakulti  sahaja.

2) Masih ada persatuan yang berdaftar namun kurang menyerlah dari segi berpersatuan.

3) Menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan persatuan mahasiswa untuk terus bergiat aktif dan memandang bahawa besarnya peranan jika terpilih sebagai ahli DPM.

4) Walaupun tidak diperuntukkan semua kerusi,namun setiap persatuan masih boleh menjadi Ahli Jawatankuasa Pemilih Usul (JPU) dan masih boleh menghantar usul dan apa-apa perkara yang berkaitan dengan hal persatuan masing-masing.


Sekiranya usul tidak terpilih,atau tidak mendapat sokongan semua ahli, ke manakah ia akan disalurkan ? adakah hak suara mahasiswa terabai begitu sahaja?

- sekiranya Ahli (JPU) berbincang dan mendapati bahawa cadangan itu tidak perlu dibawa ke sidang, maka ia secara automatik akan diambil oleh MPM . Ia juga turut menjadi situasi yang sama jika selepas undian semasa sidang, didapati usul itu ditolak. Ia tetap akan berbalik kepada MPM untuk meneruskannya.

Cuma bagi usul yang mendapat sokongan majoriti ahli, maka ianya akan diberi keutamaan oleh MPM.


Apakah kelainan yang ada pada Parlimen Mahasiswa dengan Parlimen Malaysia ?


Parlimen Malaysia mengamalkan konsep kerajaan-pembangkang. Namun, untuk konteks Parlimen Mahasiswa, tidak ada konsep sedemikian. Kita semua berdiri dan berada di situ atas kapasiti mahasiswa dan perwakilan mahasiswa. MPM sudah pastinya wajib ada kerana mereka mendapat undian dari mahasiswa semasa Pilihanraya Kampus.

Adakah Parlimen Mahasiswa mengambil alih peranan Mesyuarat Kebajikan Mahasiswa (MKM) ?

Parlimen Mahasiswa ini merupakan satu pencarian usul,cadangan dan fakta  yang terbaik untuk MPM khususnya bawa dan bentangkan semasa MKM. Malah peranan Parlimen Mahasiswa lebih besar dari itu. Kita tidak mahu Parlimen Mahasiswa hanya terikat kepada perkara di dalam kampus, tetapi turut menyentuh isu nasional dan antarabangsa.

Apakah Parlimen Mahasiswa mempunyai kuasa menggubal undang-undang dan perlembagaan universiti ?

Parlimen Mahasiswa tidak mempunyai kuasa untuk menggubal, namun dalam konteks mahasiswa melalui MPM, kita boleh menyampaikan cadangan kepada pihak pentadbiran tentang sesuatu perkara dengan lebih beradab dan beretika.

Apakah yang akan terjadi kepada usul yang telah mendapat persetujuan dewan ?

Ia akan dkemaskinikan sebelum dibawa ke pihak yang bertanggungjawab dalam jangka masa waktu yang terdekat.

Berapa lamakah tempoh yang diambil untuk mendapatkan jawapan setelah usul diterima ?

Bagi peringkat dewan dan MPM, akan menghantar cadangan tersebut untuk diambil perhatian bagi pihak yang berkenaan. Cumanya tidak ada tempoh yang spesifik untuk menjawab dari pihak berkenaan yang perlu memberi respons kepada cadangan tersebut disamping perlunya selalu cuba untuk mendapatkan maklumbalas seberapa segera yang mungkin.

Apakah yang akan terjadi sekiranya usul yang telah diterima mendapat respons yang negatif dari pihak berkenaan ?

Ahli dewan membincangkan, dan MPM akan membawa ke pihak yang bertanggungjawab. Sekiranya respons yang diberikan negatif, maka mahasiswa harus tahu faktor dan sebab mengapa cadangan itu ditolak atau tidak diterima. Kita tidak mahu cadangan tersebut ditolak mentah-mentah. Seperti mana kita hadirkan cadangan dengan fakta, maka pihak yang berkenaan juga haruslah memberikan jawapan dengan fakta dan tindakan susulan dan cadangan boleh dikemukakan untuk sama-sama membantu pihak universiti.

Adakah setiap perkara di dalam Perlembagaan DPM sudah tetap ?

Memandangkan DPM masih di peringkat percubaan, maka ianya tidak akan diubah buat masa sekarang. Sebaliknya sebarang cadangan yang dibuat akan diambil maklum untuk penambah baikan untuk sesi akan datang. Cumanya untuk masa ini, perlembagaan tersebut diguna pakai sehinggalah satu sesi penambahbaikan diadakan.