Tuesday 15 November 2011

Justifikasi Penubuhan Parlimen Mahasiswa

1.1 Parlimen Mahasiswa akan melatih mahasiswa untuk berdebat berkenaan isu, mempertahankan pendirian, meningkatkan idealisme dan sebagainya. Sejajar dengan itu, pihak universiti perlu menyediakan dan mengiktiraf platform untuk mahasiswa melontar dan menyuburkan idea mereka demi pembangunan mahasiswa, universiti dan negara.

1.2 Sebagai medium untuk semua mahasiswa UTM untuk menyuarakan pandangan dan saranan membina secara terus kepada pentadbiran universiti.

1.3 Medium perbahasan intelektual mahasiswa dalam menyentuh isu-isu kampus dan mahasiswa, negara dan antarabangsa.

1.4 Suara mahasiswa didengar dengan lebih kebertanggungjawaban dan akauntabiliti menerusi sesi soal jawab, debat dan usul yang dibangkitkan di dalam dewan.

1.5 Memberi pengetahuan dan pendedahan kepada pelajar menerusi ketertiban, disiplin dan perbincangan secara berhemah dalam menyampaikan pendapat dan hujah.

1.6 Meningkatkan lagi kemahiran komunikasi mahasiswa secara berfokus dan berstruktur.

1.7 Menjadi pusat mahasiswa berkumpul, berbincang secara sistematik dalam pembangunan modal insan.

1.8 Membantu merealisasikan hasrat UTM dalam penjanaan minda kreatif dan inovatif dalam kalangan mahasiswa.

Struktur Dewan

Terdapat beberapa komponen utama di dalam dewan persidangan;


a) Speaker
b) Timbalan Speaker
c) Setiausaha Dewan
d) Timbalan Setiausaha Dewan
e) Ahli Dewan
f) Pemerhati


Speaker:

1) Speaker Dewan dilantik daripada kalangan Ahli Dewan dengan melakukan kaedah pengundian secara sulit
2) Speaker Dewan Berfungsi utuk mempengerusikan Mesyuarat Dewan Perundingan Pelajar
3) Speaker Dewan juga berfungsi untuk memastikan mesyuarat berjalan dengan lancar.
4) Speaker Dewan mempunyai kuasa untuk menghentikan perbahasan usul, jika ada di antara ahli dewan yang melakukan perbuatan yang tidak sopan seperti mencarut, memaki hamun, dan lain-lain.

Timbalan Speaker
memangku segala kerja speaker sekiranya speaker dewan tiada

Setiausaha Dewan

1.   Setiausaha hendaklah menyediakan segala surat yang diperlukan oleh Dewan Mesyuarat dan melaksanakan segala arahan Tuan Speaker berhubungan dengan segala perkara berkaitan       dengan urusan Dewan Mesyuarat.

2.   Setiausaha hendaklah menyimpan nota atau minit perjalanan mesyuarat Dewan dan hendaklah menghantar satu salinan nota atau minit kepada ahli-ahli mesyuarat, pada hari esoknya selepas mesyuarat bersidang atau dengan seberapa  segeranya selepas itu.

3.   Sebuah buku rasmi mesyuarat mengandungi semua ucapan-ucapan yang dikeluarkan dalam Dewan Mesyuarat hendaklah disediakan oleh Setiausaha.


Ahli Dewan



PEMERHATI


  Pemerhati terdiri daripada semua pelajar berdaftar di UTM

 

    Pemerhati berperanan menyuarakan pandangan dan idea berasas pada penghujung sesi perbahasan setiap usul atas budi bicara speaker dewan.


Apa Kata Mereka ?

Amanat KPT

Parlimen Mahasiswa ? Siri Penerangan 2

Terdapat beberapa perbezaan yang wujud dalam model Parlimen Mahasiswa ini, jika dibandingkan dengan model-model Parlimen di Malaysia atau di tempat-tempat lain. Pertama, dewan ini tidak wujud klasifikasi ahli kerajaan dan ahli pembangkang. Semua ahli mempunyai status yang sama iaitu ahli dewan yang boleh berbahas tanpa terikat dengan mana-mana perjuangan atau ikatan.

Kedua, dewan ini membenarkan pemerhati untuk turut berbahas usul yang sedang dibentangkan melalui sesi khas yang disediakan sebelum sesi pengundian usul. Ini akan memberi ruang yang cukup luas agar usul itu dibahaskan dengan lebih serius dan terperinci serta turut memberi satu ruang kepada pihak ketiga untuk memberi pandangan.

Ketiga, dewan ini akan diberikan satu kebebasan tanpa kehadiran pihak universiti, maknanya dewan tidak akan dikawal oleh pihak universiti dan ia adalah 100 peratus dikendalikan oleh kuasa Speaker seperti yang terkandung di dalam standing order yang telah disediakan. Ini bermakna, semangat Seksyen 15 yang memberi ruang kebebasan kepada pelajar telah dapat direalisasikan.

Parlimen Mahasiswa ? Siri Penerangan 1

Parlimen Mahasiswa ?

5K Dalam Menjayakan Parlimen Mahasiswa

Pembentukan Parlimen Mahasiswa kini dilihat menjadi antara agenda utama bagi mematangkan lagi daya pemikiran mahasiswa Malaysia kini. Malah,pembentukan Parlimen Mahasiswa pertama di Universiti Sains Malaysia membuktikan bahawa mahasiswa kita masih mampu melahirkan idea dan saranan baik dalam isu kampus,nasional mahupun antarabangsa. Namun,dalam memastikan bahawa setiap Institut Pengajian Tinggi khususnya IPTA,mampu membentuk Parlimen Mahasiswa di kampus masing-masing, terdapat beberapa perkara yang harus ditekankan.

Menurut buku "Start Where You Are'  karangan Cris Gardner, terdapat 5-K yang utama dalam memburu impian agar terlaksana, iaitu Kejelasan,ketepatan,keterujaan,komited dan konsisten.

Dalam aspek kejelasan, pemimpin-pemimpin persatuan mahasiswa serta pegawai-pegawai universiti yang berkait dalam menguruskan universiti harus jelas mengenai idea penubuhan Parlimen Mahasiswa ini. Parlimen Mahasiswa bukanlah bertujuan untuk mengalih fokus mahasiswa daripada berjaya dalam bidang akademik kepada menjadi wakil rakyat di Parlimen Malaysia,tetapi sebaliknya adalah sebagai medan latihan dalam menyampaikan hujah secara bernas dan yang paling penting,mereka melakukan penyelidikan mengenai hujah-hujah yang bakal mereka hamburkan di persidangan dewan. Bagi pegawai-pegawai universiti yang terlibat pula,boleh mendapatkan sendiri apa sebenarnya motif dan tujuan penubuhan Parlimen Mahasiswa ini baik melalui Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia mahupun kakitangan Universiti Sains Malaysia sendiri yang menguruskan soal Parlimen Mahasiswa ini.

K yang kedua iaitu Ketepatan. Dalam perkara ini, pemimpin-pemimpin mahasiswa harus memilih isu yang tepat untuk dibahaskan, dan isu yang terpilih untuk dibincang semasak-masaknya. Mahasiswa Malaysia harus keluar dari kepompong persoalan-persoalan kecil yang hanya berlegar di sekitar dalam kampus, sebaliknya mula melihat kepada isu-isu nasional yang membabitkan masyarakat negara dan tidak ketinggalan masyarakat dunia. Parlimen Mahasiswa sebenarnya merupakan platform perbahasan akademik orang muda. Jika Parlimen Mahasiswa ditubuhkan,saya melihat satu perspektif yang bagus dalam arena atmosfera politik kampus, di mana hujah yang disampaikan adalah hujah berbentuk akademik, dan tindakan yang akan diambil setelah undian di dalam persidangan adalah mengamalkan sistem musyawarah. Boleh jadi MPP sendiri mempunyai pandangan yang berbeza mengenai beberapa isu, namun apabila dibawa berbincang  secara ilmiah bersama pemimpin-pemimpin mahasiswa lain,insyaAllah akan ada kata sepakat yang lebih intelektual dan dinamik dalam mencerminkan minda pemikiran mahasiswa kini.

K yang ketiga, Keterujaan. Tidak mustahil,satu hari nanti,apabila 80% daripada IPTA telahpun membentuk Parlimen Mahasiswa mereka, jika terdengar sahaja adanya persidangan Parlimen Mahasiswa, mahasiswa lain akan berasa teruja untuk melihat sendiri perbahasan oleh wakil-wakil mereka. Mahasiswa akan melihat sendiri tahap keintelektualan pemimpin-pemimpin mahasiswa. Mahasiswa akan mula sedar,peri pentingnya peranan mereka dalam merencanakan agenda di dalam negara kita. Orang muda ingin suaranya bukan sahaja di dengar, malah turut diambil cakna jika ia melibatkan banyak pihak. Sesi perdebatan di dalam Parlimen Mahasiswa juga diharap bersifat sebagai perdebatan yang matang. Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) tidak menghalang mahasiswa berbicara berdasarkan kajian dan penyelidikan yang telah mereka lakukan. Oleh itu,lakukan penyelidikan dan sebarkan hasilnya di dalam dewan persidangan.

Komited merupakan K yang keempat. Dalam menyentuh soal komited dalam konteks menjadi ahli dewan, tidak mustahil mahasiswa sendiri memberi tunjuk ajar kepada semua Yang Berhormat tentang tatacara dan etika semasa bersidang. Ahli Parlimen Mahasiswa harus tetap hadir ke persidangan, tidak perlu berhujah dengan menghambur cacian kepada orang lain dan sebagainya. InsyaAllah, Parlimen Mahasiswa di setiap kampus akan menjadi "check and balance" kepada keadaan di mana-mana Parlimen lain. Suasana yang penuh ilmiah,menjaga tatasusila dan banyak lagi, dan tidak mustahil, istilah "politik itu kotor" akan berkurangan kerana politik itu tidak kotor,tetapi manusialah yang mengotorkannya.

Dalam aspek konsisten, perkara ini dapat dilihat dengan idea Penubuhan Dewan Persidangan Mahasiswa Malaysia (DPMM), di mana setiap wakil dari setiap IPTA,IPTS,Kolej Komuniti,Politeknik,Wakil-Wakil Persatuan Mahasiswa Malaysia dari Universiti Luar Negara akan berhimpun untuk bersidang bagi membincangkan soal negara dan dunia. Apabila 80% daripada IPTA sudah membentuk parlimen mahasiswa mereka, maka tidak mustahil KPT akan menyokong DPPM ini. Biarkan mahasiswa mencabar, andai dengan itu mereka belajar tentang selok belok pengurusan negara.

Dalam menuju era baru, golongan belia khususnya mahasiswa tidak harus dimatikan peranan dan suara mereka. Setiap pandangan dari mahasiswa harus diterima dengan lapang dada dan diterangkan kepada mereka secara ilmiah apa kesan-kesan yang bakal diperoleh berdasarkan idea-idea mereka itu. Mahasiswa tidak harus disalahgunakan dalam idea penghak upayaan (empowerment). Mahasiswa tidak harus dimanipulasi, diperguna-gunakan tokenisme dan lain-lain perkara yang dilakukan atas nama kepentingan mahasiswa,namun kepentingan itu langsung tidak diketahuinya.

sayangi mahasiswa dan anak muda, tetapi yang paling penting,tingkatkanlah kepercayaan anda kepada mahasiswa.

Muhammad Afdhaluddin Mohd Yusof,
Naib Presiden Fakulti
Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia.